"Ustaz,
saya dulu hafiz al-Quran. Dulu, solat ini memang saya tidak tinggal. Saya semakin
hanyut dengan dunia. Sekarang, saya sudah tidak solat. Saya ingin berubah.
Masih adakah sinar untuk saya?"
Ustaz N memandang telefon bimbit Masjid Kuning Kota
Damansara. Bagus masjid ni. Ada segmen Tanyalah Ustaz. Sesiapa jemaah yang
ingin bertanya, boleh menghantarkan SMS.
"Masih
ada sinar" Ustaz N menjawab pendek.
Jemaah mengangguk. Kebanyakannya faham sifat al-Ghafur
Allah. Jemaah di situ memang boleh letak belakang nama mereka dengan Ahmad atau
Abu al-Damansari. Berlumba-lumba duduk di dalam taman-taman syurga ilmu.
Marvellous!
Ustaz N menyambung, "Kembalilah kepada Allah, nak. Allah menciptakan rahmat sebelum
menciptakan murka. Pintu taubat terbuka luas. Sibukkan diri dengan kebaikan.
Jika anda jatuh, maknanya, masa anda masih banyak yang belum diisi dengan
kebaikan."
"SMS
masuk, Pak", telefon bimbit Tanyalah Ustaz berbunyi lagi.
Ustaz N tersenyum. "Pernah
tidak dengar kisah Abu Hurairah r.a. bertanya kepada baginda Rasulullah s.a.w.
tentang seorang yang solat tetapi masih mencuri?"
Jemaah terlopong. Sah, tak dapat nak recall. Ini yang
pentingnya hadir di ceramah-ceramah dan kuliah. Dapat peringatan, dapat refresh
ilmu, dapat kesedaran. Dapat macam-macam. Best!
Ustaz N menarik nafas dan berkata, "Abu Hurairah r.a. bertanya bagaimanakah
orang yang sedemikian? Rasulullah menegaskan, solat orang itu lambat laun akan
menyebabkan dia berhenti mencuri."
Jemaah mengiyakan. Mereka teringat firman Allah s.w.t
bahawa solat akan mencegah perkara keji dan mungkar.
"Maksud
baginda Rasulullah s.a.w. dengan memperbaiki dan meningkatkan mutu solat, dari
segi rukun qauli (percakapan), rukun fi'li (perbuatan) dan rukun qalbi (rasa
hati), lambat laun solat akan berjaya menjadi benteng kepada amalan keji dan
mungkar."
Jemaah berpandangan sesama sendiri. Mereka tersenyum
dan mengangguk.
"Kesimpulannya,
nak jadi baik memang lambat. Nak membina memerlukan masa. Nak meruntuh sekelip
mata. Teruskan bermujahadah untuk istiqamah. Tutup ruang-ruang untuk melakukan
kemaksiatan. Isi kehidupan dengan kebaikan. Berkawan dengan kawan-kawan yang
baik. Usaha dan terus usaha. Insya-Allah, Allah akan mengampunkan dosa-dosa
kita."
Dalam jemaah itu, seorang anak muda tunduk. Matanya
berkaca. Dia berbisik:
Ya
Allah, dosaku menggunung tinggi, tapi rahmat-Mu melangit luas. Ampunkanlah
dosaku. Sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat.
-kredit to Artikel Iluvislam.com
Comments
Post a Comment