Pada suatu pagi, saya dan mak singgah di sebuah warung roti canai untuk sarapan. Saya lihat ramai pak cik- pak cik yang berpakaian elok-elok, berjubah putih, berkain pelekat, berserban, berkopiah dan sebagainya sedang bersarapan di beberapa buah meja. Kebetulan, warung tersebut terletak agak berhampiran masjid. Terdetik dalam hati saya, mungkin mereka merupakan jemaah masjid.
Setelah beberapa ketika menunggu, pesanan saya dan mak pun sampai. Kami pun mula makan dengan berselera. Hampir 5 ke 10 minit setelah itu, datang seorang pak cik yang lusuh pakaiannya. Kasihan saya melihat pak cik tersebut. Berjalan terencut-encut, dengan keadaan yang agak uzur, rambut dan janggutnya pun sudah banyak yang beruban. Namun, saya lihat dia tersenyum kepaada semua yang melihatnya. Pak cik tersebut pun duduk di meja berhampiran tempat makan saya. Lama saya memerhatikannya. Agak aneh kerana dia langsung tidak memanggil pelayan di kedai tersebut untuk memesan makanannya dan apa yang lebih membuatkan saya agak pelik adalah semua orang seakan-akan menghiraukan pak cik tersebut. Dia seakan-akan halimun di situ. Lama dia duduk di meja tersebut sambil bermain dengan seekor kucing. Senyuman tidak lekang dari bibirnya.
Saya bertanya kepada emak adakah dia mengenali pak cik tersebut, dan emak menjawab bahawa pak cik tersebut di gelar Ali (bukan nama sebenar). Dia seorang yang bisu sejak lahir dan dia berjalan terencu-encut kerana ketika dia masih muda, dia menjadi mangsa langgar lari. Allahu, sebak hati saya mendengarnya. Sementara saya berbual dengan emak tentang pak cik Ali, seorang pelayan pun datang memberikan semangkuk bihun sup. Dia kelihatan begitu gembira dan senyumannya menjadi bertambah lebar. Saya sangka pak cik tersebut akan terus makan dengan cepat kerana keadaan dirinya membuatkan saya tertanya-tanya bila kah kali terakhir dia makan? Saya menjadi lebih kagum apabila meliihat dia memberikan sebahagian besar ayamnya kepada kucing yang duduk di kakinya dahulu sebelum menadah tangan membaca doa dan makan. Subhanallah.
Saya perhatikan cara makannya sangat tertib dan sopan. Saya bertanya lagi kepada emak, "bagaimana pelayan tersebut tahu apa yang ingin di pesan oleh pak cik Ali kerana dia tidak boleh bercakap?" Emak menjawab bahawa mereka selalunya memberikan apa-apa sahaja lebihan makanan yang ada kepada pak cik tersebut. Pak cik tersebut tidak mempunyai keluarga, telah hilang kad pengenalannya sejak muda dan kerana dia bisu, dia tidak dapat memohon kad pengenalan baru untuk meminta bantuan dari pihak kerajaan. Selain itu, dia tidak pandai membaca dan menulis, maka sukar untuk dia berkomunikasi dengan penduduk kampung. Allah. Betapa beratnya ujian pak cik Ali.
Namun, kata emak, setiap hari pak cik Ali pergi dari rumah ke rumah dan membuat apa-apa kerja yang ditawarkan oleh tuan rumah dan di bayar sama ada dengan makanan atau sedikit duit. Dia tidak suka meminta-minta, selalunya sekiranya orang memberi apa-apa kepadanya dia akan mengambilnya, namun dia tidak akan meminta wang atau makanan tanpa bekerja. Kata emak lagi, dia tidak ada rumah, oleh itu dia tidur di masjid. Namun, dia pernah di halau keluar dari masjid, oleh itu dia tidur di stor masjid atau di mana-mana saja yang dia boleh pada waktu malam. Sebak bercampur marah saya mendengarnya. Mengapa pihak masjid menghalau orang yang sebegitu susah dan tidak kemampuan? Begitu terdetik dalam hati saya.
Mak meneruskan cerita tentang pak cik Ali dan memberitahu bahawa beberapa bulan yang lalu, dia berjaya menangkap penagih dadah yang cuba untuk mencuri duit tabung masjid. Oleh itu, pihak masjid telah membuat kutipan derma untuk membantu pak cik Ali serta kisahnya yang masuk ke akhbar telah menyebabkan pihak yang bertanggungjawab menghubunginya dan menawarkan kepada pak cik Ai untuk membuatkan kad pengenalan baru supaya dia dapat memohon bantuan dari pihak yang berkenaan. Sesetengah orang kampung juga telah bergotong-royong membuatkan sebuah rumah kecil untuknya di dalam kawasan masjid.
Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana telah membantu pak cik tersebut. Sesungguhnya, Allah telah mengujinya dengan kesusahan dan kemiskinan berpuluh tahun lamanya. Namun, usahanya untuk menjadi manusia yang berguna walaupun sukar untuknya berkomunikasi dengan orang lain mengagumkan saya. Kerana pak cik Ali seorang yang rajin dan sedaya-upayanya sentiasa cuba untuk membantu orang lain, kebanyakan dari penduduk kampung menyukainya. Namun, ada juga sebahagian yang beranggapan bahawa kehadirannya di kampung tersebut kurang menyenangkan kerana pakaiannya yang kelihatan lusuh dan dia di katakan sebagai pengemis. Saya menghormati pak cik Ali kerana walaupun hidupnya susah, dia kelihatan amat tenang, ilmu agama yang dipelajarinya diamalkan dan dia sentiasa tersenyum kepada semua orang yang dijumpainya, seolah-olah itulah cara dia memberi salam.
Comments
Post a Comment