Bismillah,
Saya
mulakan coretan pada hari ini dengan ayat-ayat cinta dari Allah yang bermaksud,
"Apakah
manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman,
sedang mereka belum diuji?"
(Al-Ankabut: 2-3).
(Al-Ankabut: 2-3).
Seperti
yang telah dinyatakan dalam firman Allah, bagaimana mungkin kita mengaku
beriman sedangkan kita belum pernah diuji seperti umat-umat yang terdahulu?
Setiap orang Islam Allah berikan ujian serta dugaan untuk menguji siapakah di
kalangan kita yang melakukan amalan yang terbaik.
“Dia
lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan
menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan
Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang
bertaubat)”
(Al-Mulk: 2)
(Al-Mulk: 2)
Allah
itu Maha Mengetahui lagi Maha mengasihani, maka Dia tidak akan memberikan ujian
yang melebihi kemampuan kita. Saat kita diuji, ada kalanya kita
menyebut-nyebut, “Kenapa aku ya Allah? Aku solat je, okay je, tapi kenapa
Engkau uji aku sebegini ya Allah?”
Saat
kita diuji, cepat sekali kita melatah. Kita rasa bahawa ujian itu adalah suatu
bebanan. Kita rasa bahawa Allah uji kita kerana Allah benci kita. Kita rasa
bahawa Allah sudah tinggalkan kita. Apabila kita diuji, kita inginkan Allah
hilangkan ujian tersebut dengan segera lalu kita berdoa supaya dihilangkan
ujian itu. Namun, beberapa ketika pun berlalu. Kita masih diuji. Allah masih
tidak menghilangkan ujian tersebut daripada hidup kita, ada kalanya terasa
ujian bagaikan semakin bertambah-tambah pula. Lalu semakin kita yakin bahawa
Allah tidak sayangkan kita. Kita rasa bahawa Allah tidak memakbulkan doa kita.
Kita bersangka buruk pula pada Allah. Sedangkan kita terlupa. Kita terlupa
mengapa Allah menguji kita. Mengapa Allah menguji hamba-hambaNya?
Allah
berfirman yang bermaksud:
"Adakah
patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada
kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang
terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda)
dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga
berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah
(datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah
itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)."
(Al Baqarah: 214)
(Al Baqarah: 214)
Allah
menguji kita untuk menguji adakah benar kita dalam golongan orang-orang yang
beriman. Sekiranya kita benar-benar orang yang beriman, ujian yang Allah
berikan akan mendekatkan diri kita kepadaNya. Sekiranya kita benar-benar
beriman, kita yakin bahawa Allah menguji kita kerana sayangNya Dia kepada kita.
Kita yakin bahawa Allah akan memberikan ganjaran pahala yang tidak terkira atas
kesabaran kita melalui ujian tersebut. Kita yakin bahawa Allah akan tinggikan
darjat kita di sisiNya sekiranya kita bersabar menghadapinya. Kita berharap
dengan sabarnya kita menghadapi ujian Allah itu, maka Allah ampunkan dosa-dosa
kita yang lalu.
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu
dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan,
dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil
tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu)
orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata:
"Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami
kembali."
"Mereka
itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan
mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk
hidayahNya."
(Al-Baqarah: 155-157)
(Al-Baqarah: 155-157)
Setiap
dari kita Allah berikan ujian yang berbeza-beza mengikut kemampuan kita. Anda
dan saya masing-masing telah, sedang atau pun akan diberikan ujian yang
berlainan. Kadang kala kita leka dengan dunia. Terlalu asyik dengan kehidupan
dunia sehingga kita terlupa bahawa hidup ini hanyalah persinggahan yang sementara.
Kita terlalu sibuk merebut nikmat dunia, lalu kita abaikan suruhan Allah. Kita
langgar apa yang Allah larang. Cintanya kita kepada dunia melebihi cintanya
kita kepada pencipta dan pemilik dunia itu. Maka kerana Allah sayang, kerana
Allah kasih kepada kita, maka Allah turunkan ujian buat kita. Untuk apa? Supaya
kita bangun dari tidur kita. Supaya kita tersedar dari kelalaian kita. Supaya
kita segera bertaubat memohon keampunannya. Sayangnya Allah kepada kita, maka
diperingatkan kita bahawa kita tidak mempunyai kuasa untuk menolak atau
mengelak daripada ujian itu. Cintanya Allah kepada kita, maka diperingatkan
kita supaya kita tidak mati dalam keadaan leka dengan dunia. Bagaimana saat
kematian kita nanti? Bagaimana nasib kita di dalam kubur pula? Lalu apa bekalan
kita untuk akhirat kelak? Apa yang akan kita jawab di hadapan Allah nanti? Allah,
Allah. Astaghfirullah.
“Katakanlah
(wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap
diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu
berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala
dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
"Dan
kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat
kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan
pertolongan.”
(Az-Zumar: 53-54)
(Az-Zumar: 53-54)
Saya
sedang diuji, anda juga mungkin sedang Allah uji. Tidak kira dalam bentuk apapun ujian yang Allah berikan, bersangka baiklah kita kepada Allah. Jangan
menjauhkan diri dariNya. Jangan percayakan bisikan syaitan yang mengatakan
bahawa ujian itu tanda Allah sudah membenci kita. Sekali kali tidak.
Beruntunglah kita yang sedang diuji. Kerana itu tanda sayangnya Allah kepada
kita. Kembalilah kita kepada Allah. Bersyukurlah kita kerana diuji.
“Wahai
sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan
janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu
ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. Ia hanya menyuruh kamu melakukan
kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata
(dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).”
(Al-Baqarah:168-169)
(Al-Baqarah:168-169)
Mungkin
kita sedang diuji dengan nikmat kekayaan, kesempitan hidup, nikmat sihat, kesakitan,
kehilangan orang yang dikasihi, kesusahan hidup, ketakutan dan sebagainya.
Walau apa jua ujian yang Allah berikan, bersyukur dan bersangka baiklah kepada
Allah. Yakinlah akan janji-janji Allah. Yakinlah bahawa dunia ini bukan tempat
kita untuk berehat-rehat dan bersenang-lenang. Dunia ini tempat kita diuji,
tempat kita mencari bekalan hidup untuk kehidupan akhirat. Sentiasa peringatkan
diri kita, bahawa dunia itu sementara sedangkan akhirat jua yang kekal abadi.
Pilihlah untuk susah, sakit dan penat di dunia namun mendapat kesenangan di
akhirat yang abadi selamanya dengan izin Allah, bukan kesenangan yang sesaat di
dunia namun akhirnya mengakibatkan kita di azab selamanya. Nauzubillah.
“Dan
(ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan
kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah
ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah
kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini
tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).”
(Al-Ankabut: 64)
(Al-Ankabut: 64)
Semoga
Allah berikan kita kesabaran dan kekuatan untuk menghadapi ujianNya. Semoga
ujian yang kita lalui mendekatkan kita kepadaNya. Semoga Allah kukuhkan
keyakinan kita akan adanya ganjaran buat hamba-hambaNya yang bersabar. Semoga
Allah kurniakan kita khusnul khatimah dan syurga yang tertinggi. Allahhumma
amin.
Credit to the owner
P/s:
Coretan ini adalah terutamanya untuk mengingatkan diri saya sendiri bahawa
Allah berikan ujian kerana cintaNya. Semoga anda mendapat walau secebis manfaat
melalui coretan ini. Saya mohon maaf sekiranya terdapat sebarang salah dan silap.
Comments
Post a Comment