Semua orang akan ada satu
waktu yang kita rasa kosong. Seolah-olah tiba-tiba kita hilang arah tuju dalam
hidup kita. Rasa sepi, kosong dan tidak berpunya. Ada
yang cuba menutup kekosongan tersebut dengan hiburan dunia, ada juga memilih
untuk bertukar-tukar pasangan dan seribu satu macam cara lagi yang kita lakukan
untuk mengisi kekosongan itu. Sekiranya kita jujur dengan diri kita, apa pun
cara yang kita pilih untuk mengisi kekosongan dalam diri dan hati kita itu,
hanya mampu memberikan kita kepuasan dan ketenangan untuk masa yang sangat
singkat. Apabila kita berbaring keseorangan pada waktu malam, sebelum kita
dibuai dengan mimpi , kita akan rasa semakin sunyi,
pilu, kosong seolah-olah tiada tempat buat kita di dunia ini.
Maka, persoalkanlah tujuan
kita lahir di muka bumi ini? Mengapa kita masih hidup dan bernafas pada saat
ini? Persoalkan semua nikmat, ujian dan segala yang kita lalui sepanjang hidup
kita sehingga ke saat ini. Sekiranya kita manusia yang benar-banar berfikir,
kita akan lihat betapa cantiknya susunan jalan hidup kita. Bukankah itu salah
satu dari bukti kebesaran dan kebijaksanaan Allah?
Rasa sunyi, kosong, sunyi dan
tak berpunya itu? Tidak akan hilang selagi kita
tidak kembali menyerah diri kepada Allah. Demi Allah yang nyawaku di
tangan-Nya, saya telah merasainya. Banyak perkara yang telah saya lakukan untuk
mengisi kekosongan jiwa saya tetapi tiada satu pun yang betul-betul memberikan
saya ketenangan sehinggalah saya bertekad dan berusaha untuk kembali kepada
Allah. Terlalu banyak perkara dan
perbuatan yang saya lakukan yang apabila saya fikirkan dan muhasabah semula
pada saat ini membuatkan saya malu kepada Allah. Sangat malu dan hina.
Kepada setiap insan yang
membaca coretan saya ini, yang merasai apa yang pernah saya rasai suatu masa
dahulu, ketahuilah bahawa anda adalah golongan yang bertuah kerana melalaui
saat tersebut kerana mungkin Allah ingin berikan kepada anda suatu anugerah
yang tidak ternilai harganya melalui perasaan tersebut. Hidayah. Sesungguhnya
Allah sangat menyayangi kalian. Marilah kita sama-sama bertaubat dan kembali
kepada jalan-Nya kerana sesungguhnya kita semua adalah pendosa.
Bukan niat di hati untuk
berlagak alim atau pandai, tapi demi Allah, walaupun saya tidak mengenali
setiap insan yang membaca contengan ini, saya amat sayang kepada kalian sebagai
seorang manusia dan saya inginkan syurga untuk kita.
Betapa jauh pun kita lari dari
Allah, berapa tinggi pun taraf kita di dunia, akhirnya kepada Dia juga kita
kembali. Mengapa tidak kita kembali berlari kepada-Nya? Kerana sesungguhnya
kita tahu bahawa tiada jalan yang benar dan selamat selain kepada Tuhan pemilik
nyawa kita.
“Sesiapa yang tidak menemukan kebahagiaan dalam zikir mengingati Allah,
solat dan membaca Al-Quran, tidak akan menemukannya di mana pun juga.”
(Hasan al-Basri)
Comments
Post a Comment