Kisah benar ini diceritakan oleh Ustaz Abu Bakar
Abdul Aziz. Ia berlaku di kawasan daerah Gombak di mana jurumandi memandikan
jenazah yang agak kaya orangnya dan berpengaruh. Begini ceritanya :
Saya telah terlibat dalam pengurusan jenazah lebih
daripada 20 tahun. Pelbagai pengalaman telah saya lalui kerana dalam tempoh itu
bermacam-macam jenis mayat yang telah saya uruskan. Ada yang meninggal dunia
akibat kemalangan, sakit tua, sakit jantung, bunuh diri dan sebagainya.
Bagaimanapun, pengalaman menguruskan satu jenazah di sebuah tempat di sempadan
Selangor dan Wilayah Persekutuan beberapa tahun yang lalu, telah mendedahkan
saya kepada satu kes yang cukup 'istimewa' sepanjang pengalaman saya
menguruskan jenazah. Inilah kali pertama saya bertemu dengan satu jenazah yang
cukup aneh, menyedihkan, menakutkan dan sekali gus menberikan banyak iktibar.
Peristiwa tersebut berlaku dua hari lagi sebelum
pilihanraya di Serkam, Melaka. Nama tempat dan nama orang yang meninggal itu
tidaklah dapat saya nyatakan di sini. Ia terjadi secara kebetulan ketika saya
diminta oleh anak Allahyarham menguruskan jenazah bapanya. Pada hari itu, saya
pergi ke rumah seorang sahabat untuk mengubatkan mata ibunya bagi kali yang
terakhir. Niat saya ialah supaya mata ibu tadi sembuh dan boleh membaca
Al-Quran. Tetapi apabila saya hendak pulang, anak Allahyarham datang menemui
sahabat saya tadi dan bertanya sama ada saya mengurus jenazah atau tidak. Kawan
saya kata, "Cubalah tanya dia sendiri." Kawan saya ada memberitahu
saya dua bulan yang lepas bahawa saya sahaja yang mengadakan kursus dalam hal
menguruskan jenazah. Anak Allahyarham menemui saya. Saya beritahu dia bahawa
jenazah tidak elok dibiarkan lama-lama.
Saya terus pergi ke rumahnya. Tapi bila saya hampir
sampai ke rumah Allahyarham, saya bau jenazah itu
sangat busuk. Baunya cukup pelik dan busuk. Saya telah menguruskan
banyak jenazah tetapi tidak pernah saya bertemu dengan mayat yang sebusuk ini.
Bila saya tengok wajah Allahyarham, sekali lagi hati saya tersentuh. Saya
tengok wajahnya seperti sedang dirundung oleh
bermacam-macam perasaaan...takut, cemas, kesal dan bermacam-macam lagi.
Wajahnya seperti tidak mendapat nur daripada Allah SWT. Kemudian saya pun ambil
kain kafan yang dibeli oleh anak Allahyarham dan saya potong-potongkan. Secara
kebetulan pula, di situ ada dua orang yang mengikuti kursus pengurusan jenazah
yang pernah saya jalankan. Saya ajak mereka membantu saya dan mereka bersetuju.
Tetapi semasa memandikan mayat itu, peristiwa pertama berlaku. Untuk makluman
pembaca, apabila memandikan jenazah, badan mayat itu perlu dibangunkan sedikit
dan perutnya hendaklah diurut urut untuk membolehkan najis keluar. Maka saya
pun urut urutkan perut Allahyarham. Tapi apa yang berlaku pada hari itu amatlah
mengejutkan. Allah itu Maha Berkuasa kerana pada hari tersebut, najis tidak keluar daripada dubur mayat tadi tetapi melalui
mulutnya. "Lain macam saja ni", fikir saya. Lalu saya ubah
sedikit teknik dan posisi mayat itu dan saya urut-urutkan lagi perutnya. Tapi
najis itu tetap keluar dari mulutnya. Hati saya berdebar-debar. Apa yang sedang
berlaku di depan saya ini? Telah dua kali mulut mayat ini memuntahkan najis.
Saya harap ia tidak akan berulang lagi kerana saya mahu mengurut perutnya bagi
kali yang terakhir. Tiba-tiba ketentuan Allah berlaku. Bila saya urut perutnya,
keluarlah daripada mulut mayat itu najis bersama
beberapa ekor ulat yang masih hidup. Ulat itu adalah seperti ulat najis.
Warnanya putih. Dari mana datangnya ulat itu, jangan tanya saya.
Allahyarham meninggal dunia akibat diserang sakit
jantung dan waktu kematiannya dengan waktu saya menguruskan mayatnya cuma lima
jam setengah sahaja jaraknya. Aneh, bagaimana dalam tempoh yang sebegitu
singkat mayatnya boleh menjadi sedemikian rupa? Saya lihat wajah anak
Allahyarham. Mereka seperti terkejut. Mungkin malu, terperanjat dan aib dengan
apa yang berlaku pada bapa mereka. Saya tengok dua orang pembantu tadi, mereka
juga terkejut dan panik. Lalu saya bacakan doa untuk mengelakkan badi mayat dan
sapukan ke muka mereka. Saya kata kepada mereka, "Inilah ujian Allah
kepada kita". Kemudian saya minta salah seorang daripada pembantu tadi
memanggil kesemua anak Allahyarham. Allahyarham pada dasarnya seorang yang
beruntung kerana mempunyai tujuh orang anak, dan semuanya lelaki. Seorang berada
di luar negeri dan enam lagi berada di sini. Bila semua anak Allahyarham masuk,
saya marahi meraka. Saya mengingatkan mereka bahawa tanggungjawab saya hanyalah
membantu menguruskan jenazah bapa mereka, bukan menguruskan sepenuhnya
tanggungjawab tersebut. Sepatutnya sebagai anak, merekalah yang lebih afdal
menguruskan jenazah bapa mereka itu, bukannya tok imam, tok bilal, tok siak.
Saya kata, mungkin satu masa dahulu ibu mereka sibuk maka Allahyarham pernah
memandikan mereka. Itulah jasa dan pengorbanan seorang bapa. Tetapi saya kesal
kerana dalam saat-saat begini anak-anak Allahyarham tidak langsung hendak
membalas jasa bapa mereka itu.
Saya kemudiannya meminta izin serta bantuan mereka
untuk menonggengkan mayat itu. Takdir Allah, apabila
ditonggengkan sahaja mayat tersebut, tiba-tiba keluarlah ulat-ulat yang masih
hidup. Hampir sebesen banyaknya. Besen itu boleh dianggarkan besar
sedikit daripada penutup bilah kipas meja. Subhanallah....suasana menjadi
semakin panik. Saya terus bertenang dan berharap tidak berlaku lagi
kejadian-kejadian yang lebih ganjil. Selepas itu saya mandikan semula mayat
tersebut dan saya ambilkan wuduk. Saya minta anak-anaknya mengambil kain kafan.
Saya bawa mayat tersebut ke dalam biliknya dan tidak diizinkan seorang pun
melihat upacara itu kecuali waris yang terdekat, sebab saya takut perkara-perkara
yang lebih aib akan berlaku.
Takdir Allah jua yang menentukan. Apabila mayat ini
diletakkan di atas kain kafan, saya dapati kain kafan
itu cukup-cukup memarasi hujung kepala dan kakinya, tidak ada lebih. Maka
saya tak boleh nak ikat kepala dan kakinya. Tidak keterlaluan kalau saya
katakan bahawa kain kafan itu seperti tidak mahu menerima mayat tadi. Tidak
apalah, mungkin saya yang silap semasa memotongnya. Lalu saya ambil baki kain,
saya potongkan dan tampungkan di tempat-tempat yang kurang. Memang kain kafan
jenazah itu jadi tidak berapa elok, tetapi apa nak buat Itu sahaja yang boleh
saya lakukan. Pada masa yang sama saya berdoa kepada Allah, "Ya Allah,
jangan Kau hinakan jenazah ini ya Allah, cukuplah sekadar peringatan kepada
hambamu ini". Selepas itu saya berikan taklimat tentang sembayang jenazah.
Tiga kali taklimat diberikan. Yang hadir cuma 13 orang saja.
Selepas menyembahyangkan jenazah tadi, satu lagi
masalah timbul. Jenazah itu tidak dapat dihantarkan ke
tanah perkuburan kerana tidak ada kereta jenazah. Saya hubungi JAWI,
JAIS, Pusat Islam, DBKL, Polis dan sebagainya, tetapi yang peliknya, mereka
juga tidak mempunyai kerata jenazah kerana kereta yang ada sedang digunakan.
Dalam keadaan
itu, seorang hamba Allah muncul menawarkan bantuan. Lelaki itu meminta saya
menunggu sebentar untuk membolehkan dia mengeluarkan van dari garaj rumahnya.
Kemudian muncullah sebuah van. Tapi ketika dia sedang mencari tempat untuk
meletakkan vannya itu di kawasan rumah Allahyarham, tiba-tiba isterinya keluar.
Dengan suara yang tegas dia berkata di khalayak ramai, "Abang, saya tak
benarkan kereta saya ini digunakan untuk mengangkat jenazah itu sebab semasa
hayatnya dia tidak pernah benarkan kita naik keretanya". Renungkanlah,
kalau tidak ada apa-apa sebab, tidak mungkin seorang wanita yang lembut hatinya
akan berkata demikian. Jadi saya suruh tuan punya van itu membawa vannya balik.
Selepas itu muncul pula seorang lelaki menawarkan
bantuannya. Lelaki itu mendakwa dia adalah anak murid saya. Dia meminta izin
daripada saya dalam 10-15 minit untuk membersihkan keretanya itu. Dalam jangka
waktu yang ditetapkan itu, muncul kereta tersebut. Tetapi dalam keadaan yang
basah kuyup. Kereta yang dimaksudkan itu sebenarnya adalah sebuah lori, dan
lori itu digunakan oleh lelaki tadi untuk menjual ayam. Renungkanlah, pernahkan kita melihat satu jenazah dibawa ke kubur dengan
lori ayam? Dalam perjalanan menuju ke kawasan perkuburan, saya berpesan
kepada dua pembantu tadi supaya ahli masyarakat tidak payah membantu kami
menguburkan jenazah tadi. Saya suruh mereka pergi kubur saudara mara dan
sahabat mereka, itu lebih baik. Saya tidak mahu mereka melihat apa-apa lagi
peristiwa ganjil. Rupanya apa yang saya takutkan itu berlaku sekali lagi -
takdir Allah yang terakhir amat memilukan. Bila sampai sahaja jenazah tersebut
ke kuburnya, saya perintahkan tiga orang anaknya turun ke dalam liang lahad dan
tiga lagi turunkan jenazah. Takdir Allah, apabila jasad
jenazah itu mencecah sahaja ke bumi, tiba tiba air hitam yang busuk baunya
keluar dari celah-celah bumi yang pada asalnya kering. Hari itu tidak
hujan, tetapi dari mana datangnya air itu? Sukar untuk saya menjawabnya. Lalu
saya arahkan anak Allahyarham supaya sendaikan jenazah bapa mereka dengan
kemas. Saya takut nanti ia akan terlangkup....na'uzubillah. Kalau mayat
terlangkup, tidak ada harapan untuk mendapat syafaat Nabi saw.
Papan keranda diturunkan dan kami segera kambus
kubur tersebut. Selepas itu kami injak-injakkan tanah supaya mampat dan bila
hujan ia tidak mendap. Tapi sungguh menyayukan, saya perhatikan tanah yang diinjak itu menjadi becak. Saya tahu,
jenazah berkenaan ditenggelamkan oleh air hitam yang busuk itu. Melihatkan
keadaan tersebut, saya arahkan anak-anak Allahyarham supaya berhenti
menginjakkan tanah itu. Tinggalkan dalam suku meter, timbus dan bataskan.
Ertinya kubur itu tidak dikambus hingga ke permukaan lubangnya, tetapi ia
seperti kubur berlubang. Tidak cukup dengan itu, apabila saya hendak membacakan
talkin, saya tengok tanah yang diinjak itu ada kesan serapan air. Masya-Allah,
dalam sejarah hidup saya, inilah julung-julung kalinya peristiwa seperti itu terjadi.
Melihatkan keadaan itu, saya mengambil keputusan untuk menyelesaikan
pengebumian secepat mungkin. Sejak sekian lama terlibat
dalam pengurusan jenazah, inilah mayat yang saya tidak talkinkan. Saya
cuma bacakan tahlil dan doa yang paling ringkas. Setelah itu saya pulang ke
rumah Allahyarham dan himpunkan keluarganya. Saya bertanya kepada isteri
Allahyarham, apakah yang telah dilakukan oleh Allahyarham semasa hayatnya.
Adakah dia pernah menzalimi orang alim, mendapat harta secara merampas, menipu
rasuah, memakan harta masjid dan anak yatim? Isteri allahyarham tidak dapat
memberikan jawapan. Memikirkan mungkin dia malu untuk memberitahu, saya
tinggalkan nombor telefon rumah saya. Tetapi sedihnya, sehingga sekarang tidak
seorang pun anak-anak Allahyarham menghubungi saya.
Untuk pengetahuan umum, anak-anak Allahyarham
merupakan orang-orang yang berpendidikan tinggi sehingga ada seorang yang
beristerikan orang Amerika, seorang dapat isteri orang Australia dan seorang
lagi isterinya orang Jepun. Saya bertambah sedih apabila dua orang yang
membantu saya menguruskan jenazah tadi menelefon saya. Mereka kata mereka
menyesal membantu saya menguruskan jenazah Allahyarham kerana anak-anak
Allahyarham telah menjadikan mereka sebagai musuh. Saya bertanya, adakah mereka
menceritakan kisah itu kepada masyarakat? Mereka kata 'TIDAK'. Peristiwa ini
akan tetap saya ingat sampai bila-bila. Kepada masyarakat, tanyalah diri kita
adakah kita mahu peristiwa itu terjadi pada diri kita sendiri, ibu bapa kita,
anak kita atau kaum keluarga kita? Adakah kita mahu peristiwa ini berlaku
berulang-ulang kali sehingga sampai satu masa nanti di mana masyarakat
menganggap peristiwa ini sebagai perkara biasa?
-Kredit
kepada penulis artikel.
Comments
Post a Comment